Empat kementerian akan terbabit dalam perbincangan mengenai cadangan menubuhkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka industri berkaitan unsur nadir bumi (REE) di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perbincangan menerusi Mesyuarat Model Perniagaan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) membabitkan keempat-empat kementerian itu akan dibuat dua minggu lagi bagi melihat keseluruhan spektrum industri daripada aspek huluan sehingga hiliran.

Beliau berkata, pelaksanaan cadangan itu perlu kepada hasil perbincangan antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); dan Kementerian Ekonomi.

“Kita sedang melihat opsyen (cadangan) terbabit, dan dalam dua minggu lagi kita akan adakan pertemuan dengan MITI, MOSTI dan Kementerian Ekonomi untuk kita lihat perbincangan daripada segi model bisnes daripada (industri) huluan sehingga hiliran tentang perlombongan NR-REE.

“Kita akan bergerak mengikut kerangka Perlembagaan sedia ada, tetapi itu tidak menghalang kita, misalnya (mengenai) cadangan mewujudkan GLC dan sebagainya. .. Itu memang kita sedang tengok apa cara terbaik supaya dapat merancakkan pembangunan industri NR-REE.

“Sebab kalau hendak dibiarkan kepada pasaran semata-mata mungkin ia tidak akan dapat pergi jauh kerana ia satu bidang yang agak ‘niche’ (berfokus) dan strategik. Ia memerlukan peranan daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark sebagai Geopark Kebangsaan Lenggong serta merasmikan Galeri Lenggong Geopark, di Kota Tampan, di sini hari ini yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Nik Nazmi ditanya sama ada respon mengenai cadangan penubuhan GLC sedemikian bertindak sebagai pengawal selia perlombongan NR-REE negara ini yang sebelum ini diutarakan oleh Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon menerusi Persidangan Dewan Rakyat pada 4 Mac lalu.

Larry sebelum ini dilapor berkata penubuhan GLC untuk sektor itu perlu seperti mana Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang mengawasi industri petroleum negara.

Ditanya sama ada kewujudan GLC sedemikian yang mengawal selia perlombongan NR-REE di negara ini akan menyebabkan pertindihan peranan dengan GLC negeri yang melaksanakan perlombongan itu, Nik Nazmi berkata semua perlu dirujuk balik kepada Perlembagaan.

“Ada peranan kerajaan Persekutuan dari segi eksport, nilai tambah dalam industri, tetapi dalam soal mineral dan sebagainya itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

SUMBER